Category Archives: Aktiviti

Melbond 2012: Dakwah Melalui Sukan

Melbourne, 10 Ogos 2012 – Para belia perlu lebih kreatif dan proaktif dalam menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat. Islam perlu ditonjolkan dalam bentuk yang lebih praktikal dan sesuai untuk diasimilasikan dalam kehidupan seharian. Oleh sebab ini, Unit Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan (SURIA) ISMA Victoria, telah menganjurkan kejohanan Futsal Melbond 2012 sebagai wadah untuk berdakwah kepada masyarakat Melayu Islam di Victoria melalui sukan, menurut pengarah program, Saudara Muhammad Khairul Safwan bin Kamaruzzaman.

Di dalam ucapan pembukaan kejohanan Futsal Melbond 2012, Pengerusi ISMA Victoria, Dr Ihsanudin Abas berkata bahawa antara objektif penting yang cuba dicapai melalui kejohanan adalah untuk membentuk peribadi muslim yang cemerlang meliputi aspek fizikal dan akhlak. Selain itu, kejohanan ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah antara para peserta di samping menekankan keutamaan menutup aurat dalam bersukan agar syariat Islam sentiasa terpelihara.

Menurut salah seorang peserta program, saudara Muhammad Nizar, kejohanan Melbond ini dapat membantu beliau berjumpa kenalan baru dan juga mengeratkan silaturrahim dengan rakan-rakan di sekitar Melbourne.

Selain itu, dalam seisi tazkirah yang disampaikan oleh Saudara Ahmad Arif Hussin selaku Ketua Biro Aktivisma Victoria, beliau berpesan kepada para peserta untuk mengambil sebanyak mungkin manfaat daripada Melbond ini. 

Sepertimana tahun-tahun sebelumnya,  kejohanan Melbond kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat. Sebanyak 8 buah pasukan telah bertanding yang melibatkan penyertaan seramai 56 orang peserta. 

Berikut adalah keputusan bagi kejohanan Futsal Melbond 2012:

 

Johan – Pasukan Gangnam Carlton

Naib Johan – Pasukan MHRC Al Kono

Ketiga – Pasukan Council St Boyz

Keempat – Pasukan Kak Limah

Tahniah diucapkan!

Gambar selanjutnya>>

JURNAL MUSIM SEJUK

JURNAL 1

A JOURNEY OF TARBIYAH

oleh  Akidah Akil, July 10th 2012 (Melbourne, Victoria)

 

Alhamdulilah, all praise to Allah ,the Most Beneficent and The Most Merciful.

The One Whose this heart belongs to and the One who makes everything possible and falls into its place.

Praises to Allah for giving me the opportunity to write and share some of what I’ve gained, what I’ve felt and what I’ve thought of during the most memorable Winter Trip and Gathering held recently. Mind you, it might be a bit personal but I choose to write it anyway J. Well, a trip usually involves visiting to places, taking awesome pictures and shopping or having the chance to experience culture first hand. Somehow, this trip was different. It was BIGGER than that. It was a ‘journey of tarbiyah’.

It was a journey of ukhwah between  groups of people in remembrance towards the sole creator, Allah. He has put our paths intersected for some reasons although it may take a while to think and ponder the meaning lies beneath it. The ukhwah I’ve witnessed was like a special bond that ties a heart to another in a most special way that it couldn’t be decipher through the naked eyes but to feel the warmth of it with heart. It was as if it’s fixed to something that can override the distance and time. And it was beautiful. It reminds me of a phrase I once stumbled on which is ‘Ukhwah fillah: bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah’. Although I might be different from the others, I came to love these people for their kindness and compassion that were reflected through the attitudes and treatment that they gave. It was amazing to feel close to other well-beings of the same faith in a stranger’s land.

This journey meant a lot to me that it is to purify the heart and soul through knowledge and tarbiyah. I do feel that fixing the inner states is much harder than improving the outside. Only Allah knows how much you’ve changed and changing to be a better person does not happen overnight nor in a one-week trip. It takes a whole longer process of upgrading, repenting and practicing what’s right. Nevertheless, there should be a kickstart to a new day. Through this journey, I challenged myself, comparing what I’ve done during my younger age to what our Islamic scholars and icons did when they were in the same age. It was incomparable, beyond comprehension that it amazed me of their achievements. Muhammad al-Fateh, for instance had successfully conquered Constantinople at the age of 23. Me? I was still busy adapting to the roller-coaster hormonal changes and feelings while dealing with miscellaneous matters. To that extent, I realized where I stood and I should be doing something. To begin to change is never easy, but I believe it is neither impossible. Insyallah, starting to do small things while being steadfast will help although I know the actual journey is still a long, long way to go. I pray to Allah to not let my heart withers idly and to keep it intact with His blessings. Insyallah…

P/S: To the sisters whom I may have known even for a while, you’ve taught me something even in subtlest way and for that I thank you

______________________________________________________________

JURNAL 2

Oleh Siti Nur Fadhilah (Townsville, Queensland)

Masih ada seminggu lagi masa yang berbaki untuk aku habiskan di bumi Melbourne ini. Keputusan yang aku buat beberapa bulan yang lepas untuk menghabiskan waktu cuti musim sejuk di Melbourne ternyata mendatangkan sejuta manfaat buatku. Aku masih ingat sewaktu tahun pertama aku mengikuti program ini pada tahun lepas. Rinduku pada ukhti-ukhti kesayangan dan teringatkan ilmu dan tarbiyah yang aku peroleh membuatkan aku tak sabar-sabar menantikan kedatangan musim sejuk.

Daripada 6 minggu cuti musim sejuk pada tahun ini, 3 minggu aku habiskan masa bersama-sama ukhti-ukhti di Melbourne. Matlamat asal hanyalah untuk mengikuti program winter trip dan winter gathering yang dijalankan saban tahun. Tapi tatkala kaki mencecah saja di bumi Melbourne, alhamdulillah, ternyata sangat banyak input yang aku perolehi hasil daripada keberadaanku di sini. Setiap hari ada saja pengisian yang aku dapat. Benarlah kata orang, hidup ibarat gelas. Jika diisi dengan sesuatu yang berfaedah, maka terisilah gelas dengan warna-warni ilmu dan manfaat, jika tidak gelas tetap akan terisi dengan angin, kosong. Qudwah yang ditunjukkan oleh ukhti-ukhtiku di sini juga merupakan tarbiyah yang baik buatku. Saat yang dinanti-nantikan sewaktu cuti musim sejuk tak lain tak bukan adalah winter trip dan winter gathering.  Kali ini, winter trip berdestinasikan Canberra dan New South Wales.


Perjalanan selama hampir 8 jam menggunakan van dan kereta tidak dinafikan amatlah memenatkan. Masanya agak panjang tapi bukanlah sesuatu yang sia-sia. Masa yang kami ada sepanjang berada di dalam van kami gunakan untuk taaruf dan berukhuwwah. Kalau dikira, menaiki kapal terbang lagi mudah dan menjimatkan masa. Tapi sebenarnya jauhnya perjalanan itu sendirilah yang banyak mengajarku erti susah dan senang, memujuk hati supaya banyak bersabar dan berlapang dada mendahulukan orang lain. Banyak tempat yang kami pergi sepanjang lawatan. Seronok mentadabbur alam dan menyaji mata dengan keindahan dan hiasan-hiasan yang Allah bentang luas di muka bumi ini. Sangat kagum dengan ciptaan dan kekuasaan Allah. Melihat keindahan alam yang terbentang di hadapanku sepanjang perjalanan banyak mengingatkan aku kepada Allah.

Benarlah, bila mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Kadang-kadang terasa terlalu penat berjalan tetapi keletihan terus terubat melihat gelagat dan semangat yang ditunjukkan oleh ukhti-ukhti kesayanganku. Walaupun kepenatan, senyuman tak lekang dari bibir. Kata-kata pujian kepada Yang Maha Agung juga kedengaran tatkala mata disaji dengan syurga dunia yang Allah ciptakan. Subhanallah! Teringat kata-kata seorang ukhti bilamana dia mengingatkanku bahawa kita sebagai seorang Muslim sangat beruntung kerana dapat memanjatkan kesyukuran kepada Allah semasa mentadabbur alam kerana kita tahu dan yakin bahawa Allah lah yang menciptakan alam dan memberi ilham kepada makhluknya untuk mencipta sesuatu. Lain pula bagi yang bukan Islam, mereka mungkin kagum hanya pada luaran, bukan di hati.

Winter gathering yang mengumpulkan ikhwah dan akhawat dari pelbagai tempat di Wombaroo Camp pada tahun ini ternyata mengukir satu lagi kenangan dalam diari hatiku. Kesejukan di kem kami hangatkan dengan ikatan ukhuwwah. Bertemakan Hanya Allah Tautan Iman (HATI), program yang dijalankan kali ini tidak jauh bezanya dengan tahun yang lepas. Yang berbeza, kefahamanku tentang Islam makin meningkat dan aku rasa sangat bersyukur kerana terpilih untuk berada bersama-sama satu kelompok yang cintanya kepada Islam membuatkan mereka bertambah kuat untuk berada di medan dakwah. Semoga Allah tetapkan hati-hati kami untuk terus berada di jalan yang diredhai-Nya.

Aku juga banyak belajar erti manisnya ukhuwwah. Manisnya hanya dapat dirasai oleh jiwa-jiwa yang meletakkan cintanya kepada Allah di tempat yang tertinggi dan ia mencintai saudaranya kerana Allah. Dikelilingi ukhti-ukhti yang banyak mengingatkanku kepada Pencipta, yang banyak mengajarku erti Islam yang sebenar, memberiku kefahaman tentang kewajipan berdakwah dan menunjukkan qudwah yang baik kepadaku. Aku bersyukur kerana dicampakkan oleh Allah perasaan untuk menyertai winter trip dan winter gathering kali ini. Hanya Allah yang tahu betapa aku bakal merindui suasana seperti ini. Suasana di mana insan-insan di dalamnya mengingatkan ku kepada Ilahi di bumi yang penuh dengan tarbiyah. Cuti musim sejukku bakal berakhir, tapi aku bagai tak sabar-sabar untuk menantikan cuti musim sejuk pada tahun depan. Aku sangat bersyukur kerana walau dalam waktu yang singkat, aku mendapat sesuatu yang besar nilainya bagiku. Semoga Allah meredhai perjalananku ini.

______________________________________________________________

JURNAL 3

Oleh Syuhairah Rahifah (Malaysia)

Kadang kadang Allah sembunyikan matahari,
dia datangkan petir dan kilat,
kita menangis dan tertanya-tanya,
ke mana hilangnya matahari,
rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.

 

Kadang kadang kita mencari,
ke mana perginya sang pelangi,
hadirnya sementara hilangnya sekelip mata,
rupa rupanya Allah nak hadiahkan kita,
sang mentari yg telah kita lupa.

Tiba-tiba teringat ayat di atas dan ditokok tambah sedikit. Rasanya itulah yang dapat digambarkan tentang apa yang dirasai sepanjang join dalam trip musim sejuk. Tidak sangka rancangan awal untuk datang semasa musim luruh berubah kepada musim sejuk…I hate winter but Allah knows what the best for his servant [2:216]. Jadi, dengan hati yang masih ragu-ragu sama ada akan tahan atau tidak dengan suhu sejuk itu…started packing things and here I am.

Tapi tak sangka kembara ini berubah menjadi suatu yang terbaik. Banyak pengalaman yang diperoleh terutamanya winter trip and winter gathering. Bila fikir balik kenangan sepanjang winter trip, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi terutama terpaksa tidur dalam kesejukan, berhimpit – himpit dlm tarago (ayat berlebihan) dalam jangka masa yang panjang, berlapang dada dengan sahabat, bersiar – siar melihat pemandangan ciptaan Tuhan, kepenatan berjalan-jalan, makan di dalam talam (paling bagus, sama-sama ‘berjuang’ menghabiskan makanan yang berlimpah ruah), berukhuwwah dan bermain bersama-sama, mendengar tazkirah dan pembentangan dari orang-orang yg hebat.

Namun semuanya bergabung menjadi satu iaitu kenangan terindah. Mungkin semua tertanya-tanya..buat apa habiskan banyak duit untuk join winter trip, baik simpan atau guna untuk berjalan, tidak pun guna untuk balik ke malaysia. Kalau ditukar AUD300 ke Ringgit Malaysia pun boleh dapat dekat RM1000. Tapi duit itu tidak mampu untuk membayar apa yang telah didapati sepanjang winter trip tu..Mungkin ada orang pernah ikut winter trip sebelum ini, tapi kemanisannya tidak akan sama sebagaimana kemanisan winter trip tahun ini. InshaAllah semoga setiap perkara yang dibuat akan dirahmati oleh Allah.

Ayuh sahabat! Jom join next trip. Walaupun kemanisannya tak sama tapi kamu mungkin akan kecapi kemanisan yang mungkin lebih baik dari apa yang kami semua dapati.

 

______________________________________________________________

JURNAL 4

Oleh Nurul Syahira (Hobart, Tasmania)

 

Pra- kembara

Pengembaraan mencari Ilahi bertepatan dengan tema winter trip 2012 iaitu Kembara Alam Mencari Ilahi bagi saya telah pun bermula sebelum tarikh rasmi Winter Trip yang sepatutnya bermula pada 2 Julai 2012 lagi, di mana saya diberi peluang untuk menyertai seminar Kursus Teras Islam yang mengupas tajuk-tajuk menarik seperti Ulum al-Quran dan Ulum al-Hadith di Melbourne. Seminar ini berjalan selama 3 hari dan disampaikan oleh Ustaz Halim, seorang ustaz yang sangat  berpengalaman  dengan penyampaian yang benar-benar interaktif, santai tetapi mencapai objektif!

Sabda Rasululllah SAW, “Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya, maka Allah akan menjadikan dia faham dalam bidang agama” diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, sungguh saya rasa bersyukur kerana saya berasa terpilih walau pada asalnya saya mempunyai banyak pilihan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain pada masa yang sama. Tahniah dan terima kasih juga diucapkankepada pihak penganjur, ISMA yang banyak berusaha untuk mengadakan seminar-seminar yang menarik dan berinformasi seperti ini. Teruskan usaha dan perjuangan!

Pengalaman Winter Trip ke Canberra-Sydney

MasyaAllah tidak tergambar kesyukuran dan manakan sama untuk saya menterjemah bunga-bunga kegembiraan dalam hati ini untuk menceritakan pengalaman manis dan ibrah yang saya perolehi sepanjang winter trip yg lepas di atas sehelai nota. Suka duka yang dialami sepanjang trip banyak mengajar saya mengenal erti sebenar tarbiyah. Benarlah kata pepatah, jauh berjalan luas pengalaman. Besar tarbiyah yang Allah nak beri melalui trip ini. Bagi saya, trip ini bukanlah kembara yang biasa-biasa, trip ini adalah kembara mencari Ilahi dan sepanjang perjalanan kami seringkali diingatkan untuk perbaharui niat. Niat bukan sekadar suka-suka berjalan dan “have fun” tetapi tak lupa juga untuk rohani yang sebenarnya dahagakan pengisian!

Trip musim sejuk kali ini diperhangat dengan ikatan kemesraan antara sisters yang kini sangat-sangat saya rindui. Rindu sungguh rasanya ingin bersama sisters lagi mentadabbur alam dan berkongsi luahan. Keindahan alam  bukan lagi untuk direnung jauh ala-ala blues , tetapi  haruslah diperhati dan dihayati sebaik mungkin dengan mata hati agar bertambah kesyukuran dan keyakinan kepada Tuhan yang menjadikan sesuatu tanpa  sia-sia. Hal ini mampu dikecapi bagi mereka yang benar-benar berfikir akan kehebatan dan kebesaran-Nya hatta melihat awan berarak di waktu sore.

Seperti firman Allah SWT dalam ayat yang ke-191, surah Ali Imran yang maksudnya,

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia.”

Ukhuwah satu hadiah

Tak kenal maka tak cinta! Tempoh trip yang singkat bukanlah pengukur sejauh dan sedalam mana ikatan sesebuah persahabatan. Eksplorasi ini yang bertemakan “kembara alam mencari Ilahi” atau singkatannya K.A.M.I yang berjalan dalam  masa beberapa hari ini banyak mengajar saya untuk makin mengenali dan memahami erti ukhuwah fillah, menyemai  kasih dan sayang kepada mereka yang sudah saya kenali dan baru kenali melalui trip ini. Jawapannya mudah! Hal ini kerana kami mempunyai “common goal” dan misi yang sama iaitu-K.A.M.I.  Manakan tidak, dalam tempoh yang sekejap itulah, saya berjalan, makan, bermain dan mentadabbur alam dengan mereka semua. Di sini saya ingin memetik sebuah hadis yang maksudnya , “Barang siapa mencintai saudaranya hendaklah ia memberitahu bahwa ia mencintainya “

(HR. Abu Daud)

Sungguh saya belajar “ uhibbuki fillah kama ahbab tanillah” yang bermaksud “aku  mencintai kamu sebagaimana kamu mencintaiku kerana Allah”. Ohh memang terlalu manis dan romantis untuk didefinisikan erti sebenar ukhuwah fillah , ukhuwwah yang terbina atas dasar aqidah dan keikhlasan serta kesungguhan dalam pencarian keredhaan Yang Maha Satu. Alhamdulillah trip ini menjadi wasilah untuk membina jambatan antara hati-hati ini.

Episod seterusnya..Winter Gathering di Wombaroo Camp

Kembara alam mencari Ilahi bersambung dengan episod seterusnya di Winter Gathering yang bertempat di Wombaroo Camp, Sydney. Di sana saya ditemukan dengan lebih ramai sahabat dari segenap pelosok bumi kanggaru ini. Hakikat ini menyedarkan saya bahawa saya bukanlah keseorangan berjuang mengejar ijazah demi risalah di bumi Australia yang terkenal dengan jolokan”the Down Under” ini. Para peserta berpeluang mendengar “talk” daripada beberapa tetamu jemputan yang hebat-hebat belaka yang diterbangkan secara ekslusif dari Malaysia. Bukan itu sahaja, salah satu muwasofat muslim iaitu ”qawiyyul jismi” para peserta juga dapat diterjermahkan secara praktikalnya melalui aktiviti-aktiviti yang ‘best’ dan ‘cool’ seperti ‘Explorace’, senamrobik, ‘teambuilding’ dan beberapa aktiviti ‘icebreaking’ yang mencabar dan menghiburkan.

Secara keseluruhannya,percutian “sweet escape” jauh dari kepulauan Tasmania ini, dapatlah saya gambarkan sebagai satu percutian musim dingin yang mempunyai keistimewaannya tersendiri. Trip ini adalah yang kedua dalam coretan hidup saya, namun kali ini ke tempat yang berbeza bersama sahabat-sahabat yang baru dikenali serta pelbagai lagi pengalaman yang baru dapat dirasai melalui trip ini telah melakar memori indah buat saya. Sebuah eksplorasi dan trip yang memahat seribu satu kenangan yang sangat berharga dalam diari perjalanan hidup ini.

Semoga kenangan dan ibrah sepanjang percutian ini tersimpan rapi dalam sanubari dan menjadi bekalan berguna untuk menempuh hari-hari berikutnya InsyaAllah! Semoga Allah izinkan lagi saya untuk sertai Winter Trip dan Gathering seterusnya pada tahun hadapan! Saya  juga  ingin mengajak semua  terutamanya  kepada kawan-kawan yang belum pernah lagi menyertai trip dan gathering sebelum ini,  agar menyertainya pada tahun hadapan dan selamat mencoret dan mencorakkan memori dan kenangan anda sendiri! Sekiranya diizinkan Allah, jumpa anda tahun hadapan! Wassalam.

______________________________________________________________

JURNAL 5

Oleh Muhammad Syawalfitri Yaakob (Malaysia)

2 Julai 2012. Atas saranan kakak, saya menyertai program Winter Trip 2012. Teringin juga ingin mengetahui bagaimana sebenarnya trip yang dijalankan sebagaimana yang sering saya dengar daripadanya di telefon pada tahun-tahun sebelumnya. Bertolak tepat jam 9.10 malam dari Pelham Musolla di University of Melbourne, saya menjadi co-driver yang pertama, membantu Zulfadli.

            Tiba di Masjid Canberra kira-kira 5 pagi, cukup mengejutkan apabila menyaksikan rumput-rumput yang keras dan membeku – frost – bagaikan berjalan di atas simen yang lembut. Apakan tidak, suhunya mencecah -5°C! Jika -5°C pun sudah begini, lain kali sahajalah melawat negara yang lebih sejuk. Seusai solat Subuh dalam kesejukan yang amat, diadakan sesi tazkirah ringkas, diikuti sesi berta’aruf. Walaupun ringkas, tetapi cukup untuk memberi peluang mengenali sahabat-sahabat seperjalanan dengan lebih dalam, memandangkan saya hanya ingat-ingat lupa nama masing-masing ketika program KITI pada minggu sebelumnya.

            Menghirup udara segar pagi di Canberra membawa saya jauh melupakan seketika kesibukan waktu pagi di Kuala Lumpur. Membuatkan saya terfikir, kadangkala, kita lupa untuk berterima kasih kepada Allah kerana setiap pagi diberikan-Nya peluang bernafas. Perjalanan diteruskan dengan melawat bangunan Parlimen Australia dan Australian War Memorial, tempat peringatan perang, sementara menunggu waktu janji temu bersama-sama pihak Kedutaan Malaysia.

            Kami memasuki pekarangan Kedutaan Malaysia yang hanya terletak beberapa puluh meter di hadapan masjid tadi pada jam 12.30 tengah hari. Awal ketibaan, saya sedikit gamam apabila rombongan kami ditanya “Ada pelajar dari UIA?” Sesiapapun akan cemas apabila ditanya dalam khalayak sebegitu. Rupa-rupanya mereka hanya agak terperanjat apabila mendapati ada pelajar yang bukan dari Melbourne turut serta dalam rombongan. Apabila ditanya, “Sambung belajar di sini ke?” saya hanya mampu tersengih menjawab, “Cuti sem.” Walau bagaimanapun, kehadiran saya disambut baik bersama-sama ahli rombongan yang lain. Oh, tidak lupa, makanannya cukup sedap! Bagaikan berada di Malaysia. Kami menghabiskan masa yang berbaki untuk melawat Australian National University (ANU) sebelum mula bergerak ke Sydney pada malamnya. Sekali lagi menjadi co-driver.

            Menumpang di rumah Akbar & Co. (saya tidak tahu siapa ketua rumahnya) yang cukup selesa memberikan kami tenaga untuk meneruskan perjalanan pada hari seterusnya. Singgah di beberapa destinasi pilihan di Sydney; Opera House, Royal Botanical Garden, USYD . Sempat juga mengunjungi Paddy’s Market – tempat membeli buah tangan untuk dibawa balik – tetapi saya lebih yakin Victoria Market di Melbourne lebih berpatutan harganya setelah meninjau beberapa ketika. Sebelum makan malam di rumah Puan Munirah, pegawai MARA, para jurugambar kami gembira kerana mendapat beberapa foto matahari terbenam di La Perouse yang sukar dieja namanya.

            Destinasi akhir kami di Sydney pada hari Khamis ialah Blue Mountains, di mana kami berpeluang merasai pengalaman rel curam 52° serta menikmati pemandangan indah dari bahagian atas gunung dengan menaiki kereta kabel dan Skyway. Kami pulang ke rumah persinggahan selepas menikmati makanan Thai. Jumaat keesokannya, kami bergerak menuju ke Camp Wombaroo untuk program Winter Gathering. Sebagai peserta dari Malaysia, boleh saya katakan, 90% memuaskan. Peserta-pesertanya pula ramah-ramah belaka. Jika saya ada peluang ke Australia lagi pada tahun-tahun akan datang, mungkin akan saya pertimbangkan untuk menjadi peserta lagi.

 

Dedication2U – Permintaan Tinggi

Untitled

Victoria, 9 Jun – Unit Usahawan Victoria dibawah Biro Aktivisma, ISMA Victoria atau lebih dikenali sebagai UVIC telah melancarkan Dedication2U pada 21 Mei hingga 3 Jun yang lalu.

Program yang diadakan bersempena dengan musim peperiksaan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Aktivis berkenaan dengan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang keusahawanan. Jualan Dedication2U yang menawarkan pelbagai jenis item beserta penanda buku yang direka sendiri oleh Aktivis telah menerima 233 dedikasi untuk para pelajar yang berada di sekitar Melbourne.

 

Lebih manis lagi, sebilangan tempahan diterima daripada pelajar yang menuntut di Adelaide untuk diberikan kepada sahabat handai yang menuntut di Melbourne.

Ternyata Dedication2U yang dianjurkan bukan sahaja memberi peluang kepada Aktivis untuk terlibat dalam keusahawanan semata-mata tetapi ia juga menyemarakkan lagi silaturrahim sesama pelajar walaupun berada di tempat yang berbeza.  Ia juga menjadi tanda ingatan daripada pengirim kepada penerima sempena musim peperiksaan ini.

1000 Steps – A Walk to Remember

Untitled

“ 1000 Steps , A walk to remember ”

Dandenong Ranges National Park, Victoria, 29 April 2012- Kegigihan dan semangat aktivis mahasiswi jelas terpamer apabila berjaya menaiki 1000 anak tangga, sempena program “A walk to remember” anjuran Biro Suria aktivISMA bagi memantapkan persediaan fizikal dan mental aktivis mahasiswi supaya menjadi muslimah yang sihat tubuh badan.

Program ini dilaksanakan sebagai persediaan awal bagi para aktivis yang majoritinya menyertai “Mother’s Day Classic, larian amal untuk mengutip dana bagi “National Breast Cancer Foundation dianjurkan oleh Women in Super, Australia. Bermula seawal 8.30 pagi hingga 12 tengah hari telah berjaya mengumpulkan seramai kira-kira lapan belas orang aktivis yang ceria dan bertenaga bagi mendaki seribu anak tangga.

Dandenong Ranges National Park, merupakan kawasan rekreasi yang menjadi pilihan utama bagi kebanyakkan individu yang terdiri daripada komuniti tempatan dan pelancong. Menariknya, Kokoda Walk 1000 anak tangga yang dinaiki para aktivis terhasil daripada kegigihan perajurit  Australia dalam membina laluan dalam perjuangan menjalankan beberapa misi pada tahun 1942.

Semangat perajurit Australia ini dicedok para aktivis apabila rohani mereka diisi dengan sedikit penceritaan ANZAC DAY dan hubung kaitnya dengan sejarah islam. Program diakhiri dengan makan tengah hari di bawah terik mentari dan ukhwah sesama aktivis terjalin.

Secara keseluruhan, “A Walk to remember” telah berjalan dengan jayanya dan mendapat  maklum balas yang positif daripada para aktivis.

Beddoe Clean Up Day

1

“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”

Begitulah semangat yang ditonjolkan oleh aktivis mahasiswi yang menyertai program “Beddoe Clean Up Day” anjuran Biro AktivISMA pada 25 April 2012 yang lalu.

Program bermula selepas solat asar dan berakhir kira-kira sebelum maghrib itu telah berjaya mengumpulkan seramai kira-kira sepuluh orang sukarelawan yang bersemangat dan bekerjasama dalam membersihkan masjid Beddoe.

 

Masjid Beddoe merupakan salah satu masjid yang berada di kawasan Clayton yang mana dikunjungi oleh ramai muslim sama ada daripada komuniti lokal atau internasional. Justeru, sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat dan sifat bantu-membantu bekerjasama dalam kalangan aktivis, progam ini juga merupakan salah satu medium kepada aktivis menyumbang kepada masyarakat muslim di sini.

Selain bekerjasama membersih dan menyusun atur semula ruangan solat jemaah wanita khususnya, para aktivis juga berkesempatan mengukuhkan semula ikatan ukhuwwah sesama mereka dalam menjayakan program tersebut.

Secara keseluruhan, “Beddoe Clean Up Day” telah berjalan dengan jayanya dan mendapat  maklum balas yang positif daripada para aktivis.

Winter Trip 2012

WinterTrip2012

Breakfast 4 Palestine & Syria

526705_308794469209177_100002358808663_698302_106794905_n

Dedication2u

Motivasikan rakan-rakan seperjuangan untuk melalui musim peperiksaan ini dengan hadiah istimewa beserta ucapan khas dari anda.Projek ini dibawakan kepada anda oleh UVic Aktivisma.
P/S: Penerima mestilah berada di sekitar Melbourne sahaja.

 Klik untuk tempahan –>

 Klik untuk tempahan –>

   Klik untuk tempahan –>

AktivISMA Menyusuri Sejarah dan Mengambil Pengajaran dalam Program ‘Zero to Hero’

14 APRIL, Clayton – Seramai 53 orang mahasiswa Melbourne telah mengikuti Program ‘Zero to Hero’ anjuran ISMA Victoria, Australia bertempat di Monash Community Inn, bertunjangkan tiga objektif utama;  membawa para peserta menyelusuri sejarah Tamadun Islam, memahami hakikat realiti umat Islam pada zaman sekarang dan akhirnya menyampaikan kepada mereka langkah-langkah praktikal yang boleh diambil untuk menyelesaikan kemelut umat Islam masa kini.

Program Zero to Hero yang dianjurkan setiap tahun oleh ISMA Victoria, (tahun ini dibawah biro AktivISMA) telah menampilkan dua orang penceramah yang berpengalaman, Dr. Ihsanuddin Abas (Pengerusi ISMA Australia dan Ketua ISMA Victoria) dan Dr. Faiz Yaman (Ketua Pengurusan Sumber Manusia, ISMA Victoria) bagi membentangkan dan menyelusuri sejarah tamadun Islam bermula dari zaman Nabi Adam a.s. sehinggalah kepada zaman kini; meneliti realiti umat Islam hari ini. Peristiwa demi peistiwa dianalisis untuk mendapatkan intipati pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang berlaku, khususnya faktor-faktor yang membawa kepada kejayaan umat Islam dan juga sebab-sebab yang membawa kepada keruntuhannya yang masih dirasai oleh seluruh umat Islam pada saat ini.

Seterusnya, para peserta dibentangkan dengan langkah penyelesaian yang praktikal, merangkumi tujuh peringkat perubahan yang diusulkan Imam Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin. Para peserta dibentangkan kepentingan untuk membina semula tamadun Islam yang hilang ini dari langkah yang paling bawah; melalui pembinaan individu Muslim yang mantap. Siri-siri pembentangan dan ceramah yang diselang-seli dengan latihan dalam kumpulan memberi nafas baru kepada cara program ini dilaksanakan.

Selepas solat Asar, para peserta mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dengan menyertai aktiviti luar berteraskan sejarah Islam yang telah dibincangkan.

Di penghujungnya, slot terakhir pada waktu malam diisi dengan sesi lakonan bertajuk ‘Misiku’. Selaras dengan tajuk dan objektif program, lakonan ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam mesej yang cuba disampaikan sepanjang program ini.

Penyampaian Hadiah Explorace

Secara keseluruhannya, program ‘Zero to Hero’ adalah suatu program yang sangat berguna khususnya kepada para pelajar bagi memantapkan pengetahuan mereka tentang hakikat sejarah umat Islam yang panjang ini, menanamkan kepada mereka rasa bangga kerana seseungguhnya Islam pernah cemerlang suatu masa dahulu, memahami realiti umat Islam masa kini dan langkah-langkah praktikal yang boleh diambil untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul dalam kalangan umat Islam sekarang. Diharapkan program sebegini dapat diperluaskan lagi promosinya dan diteruskan pada masa hadapan.

Gambar Lagi>>

 

Travelog Perkhemahan Musim Luruh AktivISMA 2012

467916_279554185466539_100002358808663_628054_1635945217_o

Pada 9-10 April 2012, seramai 17 pelajar daripada pelbagai university di Victoria, antaranya University of Melbourne, Monash University, Deakin University dan RMIT University, telah menyertai satu perkhemahan musim luruh anjuran Unit Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan (Suria), AktivISMA di Great Otway National Park, Victoria kira-kira 200km dari bandar Melbourne.

Perkhemahan yang buat julung kali oleh AktivISMA ini diadakan bertujuan untuk melahirkan pemuda yang kuat tubuh badan yang dapat mengharungi cabaran-cabaran perkhemahan selain mengisi masa cuti pertengahan semester dengan aktiviti berfaedah. Selain itu, perkhemahan ini merupakan salah satu cara merapatkan ukhuwah antara para peserta serta untuk menghayati dan mensyukuri kebesaranNya yang maha esa.

Dengan sebuah van 12-seater dan sebuah kereta, rombongan bertolak dari rumah Manallack (HQ) pada jam 11.30 pagi hari pertama perkhemahan. Walaupun perjalanan mengambil masa kira-kira 5 jam, namun keindahan pemandangan sepanjang Great Ocean Road membuatkan peserta tidak henti-henti memuji kebesaranNya. Sungguh, ombak-ombak yang menghempas pantai,  batu-batu hitam berlumut yang tersusun indah di pesisirnya, angin sejuk yang menyamankan kulit, dan bukit-bukau di pedalaman serta haiwan ternakan seperti lembu dan biri-biri mahupun haiwan liar seperti rusa dan kangaroo serta koala cukup untuk menjadikan pengalaman ini satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Alhamdulillah, peserta selamat tiba di lokasi perkhemahan – Aire River West Camping Ground kira-kira jam 4.30 petang. Pemandangan di campsite sungguh mendamaikan dan memukau pandangan para peserta yang menyertai. Setelah menunaikan solat Zohor dan Asar, peserta berjaya mendirikan 2 buah khemah, menghidupkan unggun api serta menyiapkan makanan malam sebelum senja berlabuh.

Usai solat Maghrib dan Isyak, setiap peserta yang kebanyakannya menghadiri program Twins of Faith di Royal Exhibition Building berkongsi ilmu yang diperoleh. Antara perkongsian yang diperolehi ialah kepentingan untuk berubah diri sendiri berlandaskan syariat untuk menyiapkan diri menjadi pemimpin umat Islam di masa hadapan..

Aktiviti seterusnya disusuli dengan tazkirah tentang pentingnya sihat dan kuat tubuh badan bagi setiap individu Muslim. Menurut penyampai, terdapat 9 lagi ciri-ciri setiap pemuda Muslim yang digariskan oleh Imam Hassan al-Banna. Sebelum melabuhkan tirai hari pertama perkhemahan, para peserta sempat berkongsi cerita sambil memanggang marshmallow dan roti di sekeliling unggun api sambil menghayati keindahan malam ciptaan Allah S.W.T. Benarlah firman Allah taala dalam surah Al Mulk, ayat ke-3 yang bermaksud

Dialah yang telah menciptakan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis, engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu, dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

Hari Selasa.

Kedinginan suasana pagi dengan suhu dibawah 7˚C tidak melunturkan keazaman para peserta untuk bangun di awal pagi dan seterusnya menunaikan kewajipan solat fardhu Subuh secara berjemaah. Keheningan pagi di Aire River West Camping Ground, dipecahkan dengan bacaan zikir dan doa Al Ma’thurat dan seterusnya kuliah subuh oleh saudara Ahmad Azfar Muhamadiah. Di dalam kuliah ini, penyampai menekankan kepentingan ukhuwah dan persaudaraan di antara sesama muslim. Beliau turut mengingatkan kisah ukhuwah tiga sahabat yang syahid di dalam satu peperangan, masing-masing mendahulukan sahabatnya walaupun diri sendiri sedang parah.

Aktiviti seterusnya ialah aktiviti lasak di lereng bukit yang bersemak iaitu war game. Rata-rata peserta sangat teruja kerana aktiviti ini menguji kepantasan dan kecergasan badan serta kecerdasan minda dalam merancang strategi. Antara pengajaran yang diperoleh daripada aktiviti ini ialah pentingnya peranan ketua dan pengikut, perbincangan dalam merancang strategi dan keberanian bertempur di medan serta bertempur melawan serangan pemikiran – ghazwatul fikr.

Sebelum meningggalkan kawasan perkhemahan, para peserta sempat meluangkan masa memancing di Aire River dan berjaya menaikkan sejumlah 16 ekor ikan. Hasil tangkapan yang segar ini seterusnya dijadikan hidangan untuk santapan tengah hari. Rombongan meninggalkan kawasan perkhemahan dan seterusnya bertolak ke Appllo Bay.

Di Apollo Bay, peserta berpeluang bersama-sama satu lagi rombongan dari Melbourne yang baru tiba, 17 peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari University of Melbourne, RMIT University, Australian National University, University of Queensland, dan University of Tasmania. Setelah makan tengah hari dan solat, rombongan bergerak ke Gibson Steps, 12 Apostles dan Loch Ard Gorge. Subhanallah, sungguh cantik dan harmoni ciptaan Allah S.W.T.

Rombongan singgah sebentar di Port Campbell untuk makan malam dan solat. Sebelum bertolak pulang ke Melbourne, beberapa wakil peserta berkongsi pengalaman bersama seluruh rombongan dan sewaktu majlis penutupan, rombongan disajikan dengan satu persembahan spoken words oleh Saudara Iqbal Sha’rani yang mencipta liriknya sepanjang perjalanan. Rombongan selamat tiba di Melbourne kira-kira jam 11 malam.

Alhamdulillah, aktiviti perkhemahan ini telah Berjaya mencapai objektif yang diharap-harapkan. Semoga aktiviti seumpama ini dapat diteruskan lagi serta ditambahbaikkan lagi pada masa hadapan insyaAllah.

Lihat gambar lagi>>